Gelombang krisis mungkin akan terus datang tetapi jika kita menghadapinya bersama ia tidak akan menenggelamkan Malaysia.Gelombang krisis mungkin akan terus datang tetapi jika kita menghadapinya bersama ia tidak akan menenggelamkan Malaysia.

100 hari krisis tenaga global: Disiplin dan kesepakatan negara benteng terkuat

For feedback or concerns regarding this content, please contact us at [email protected]

Dunia telah berdepan krisis tenaga global selama 100 hari. Satu perkara kini semakin jelas: krisis ini bukan lagi gangguan sementara. Konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, dan gangguan serius terhadap laluan Selat Hormuz mencetuskan kejutan bekalan yang serius. Malah, Agensi Tenaga Antarabangsa menyifatkan krisis ini sebagai yang terbesar dalam sejarah pasaran minyak global. Kesannya semakin menjadi realiti baharu yang perlu diurus lebih meluas dan terancang — baik dari segi tindak balas kecemasan, mahupun pembinaan daya tahan jangka panjang.

Malaysia mendepani krisis ini dari kedudukan yang boleh dikatakan kukuh. Ekosistem minyak dan gas negara, kapasiti penapisan domestik serta institusi seperti Petronas memberi kita penampan yang tidak dimiliki oleh banyak negara jiran Asean. Diplomasi yang proaktif juga membantu memastikan kapal Malaysia dapat melalui perairan terjejas dengan selamat. Namun, kita perlu jujur: kekuatan ini memberi kita masa, tetapi ia tidak menyelesaikan cabaran asas yang sedang dihadapi. Sejak krisis bermula, harga purata minyak mentah Brent berada sekitar USD95 hingga USD100 setong. Kemuncaknya, ia pernah melonjak melebihi USD120. Paras ini masih cukup tinggi untuk terus memberi tekanan kepada harga barang, rantaian bekalan dan belanjawan isi rumah.

Pada fasa pertama, keutamaan kerajaan jelas: memastikan bekalan tenaga kekal stabil dan mengurangkan kesannya kepada rakyat. Melalui mekanisme subsidi bahan api BUDI95 dan Budi Madani, kerajaan melindungi isi rumah serta perniagaan daripada tekanan awal akibat kenaikan mendadak harga global. Dengan mengekalkan RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter ketika harga pasaran melepasi RM4, perbelanjaan subsidi bahan api bulanan dilaporkan mencecah RM7.5 bilion pada April, memaksa Kerajaan memikul beban fiskal yang besar. Keputusan itu berjaya mengelakkan kejutan mendadak kepada aktiviti ekonomi. Langkah itu berkesan dari segi mengelak kejutan mendadak kepada ekonomi, tetapi penyelesaian menyeluruh masih diperlukan.

Krisis berperingkat

Mungkin ramai yang berfikir bahawa krisis ini hanya mengenai harga minyak. Ini satu salah faham yang berbahaya: Hakikatnya, ini ialah krisis bekalan yang kesannya dirasai secara berperingkat. Pada mulanya, ia dirasai di pam minyak. Lama-kelamaan, kesannya merebak ke kos pengangkutan, harga makanan, perbelanjaan isi rumah dan akhirnya keyakinan terhadap ekonomi negara.

Peringkat pertama ialah kenaikan harga minyak dan bahan api, iaitu kesan yang paling segera kita rasai. Peringkat kedua ialah tekanan kepada logistik dan rantaian bekalan apabila kos pengangkutan dan penghantaran meningkat. Peringkat ketiga ialah kenaikan harga makanan, barangan keperluan dan tekanan terhadap pendapatan, apabila kos yang lebih tinggi memberi kesan kepada harga bahan mentah petrokimia, baja, pembuatan dan
pembinaan, sebelum akhirnya muncul dalam bentuk kos sara hidup yang lebih tinggi untuk rakyat. Peringkat keempat ialah tekanan fiskal dan keyakinan negara. Jika harga kekal tinggi, subsidi yang diunjurkan menghampiri RM48 bilion setahun akan menyempitkan ruang untuk perbelanjaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan.

Krisis yang berpanjangan juga akan menguji kesabaran serta kepercayaan rakyat. Sebab itu tumpuan kita tidak boleh terhenti pada harga di pam minyak semata-mata. Kita perlu melihat tekanan kos sara hidup yang lebih luas, yang akan muncul secara berperingkat jika krisis ini berlarutan.

 Perbelanjaan awam sahaja tidak memadai

Inilah perkara pokoknya: krisis yang berpanjangan tidak boleh diselesaikan hanya dengan perbelanjaan Kerajaan. Ruang fiskal negara ada hadnya. Kekuatan fiskal pula ialah asas kepada daya tahan negara. Semakin lama krisis ini berlarutan, semakin besar tekanan terhadap negara. Dan semakin jelas bahawa tanggungjawab untuk bertahan tidak boleh dipikul oleh Kementerian Kewangan sahaja. Ia memerlukan peranan semua pihak. Kita tidak boleh mengambil mudah krisis ini. Yang diperlukan sekarang ialah keupayaan untuk bergerak pantas, menyesuaikan dasar dengan keadaan, dan berkongsi kefahaman tentang peranan setiap lapisan masyarakat.

Bagi Kerajaan, ini bermakna campur tangan yang bersasar, tangkas dan bertanggungjawab dari sudut fiskal — melindungi mereka yang benar-benar
memerlukan, bukan memberi subsidi pukal. Bagi perniagaan, ini bermakna meningkatkan kecekapan tenaga, mempelbagaikan rantaian bekalan dan membina
operasi yang lebih tahan lasak. Bagi isi rumah, ini bermakna penggunaan yang lebih berhemah serta pengurusan kewangan yang lebih kukuh sebagai persediaan menghadapi kejutan ekonomi. Bagi ahli politik pula, ini bermakna mengurangkan percaturan politik dan memberi tumpuan yang lebih tegas kepada kepentingan negara.

Perlindungan lebih bersasar, bukan subsidi pukal

Ketika kita memasuki fasa seterusnya, bentuk sokongan juga perlu berubah. Daripada perlindungan secara pukal, kita perlu bergerak kepada perlindungan yang lebih bersasar, supaya golongan paling rentan terus dibantu ketika subsidi yang tidak bersasar dikurangkan secara berperingkat. Kita perlu membezakan antara mereka yang terkesan oleh kenaikan kos dengan mereka yang benar-benar berisiko menjadi miskin tegar. Instrumen bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan intervensi makanan seperti Jualan Rahmah Madani akan menjadi antara langkah paling penting untuk melindungi rakyat. Krisis ini juga tidak sepatutnya membebankan golongan rentan berbanding tempoh prakrisis.

Kerajaan tidak memandang ringan tekanan yang dirasai setiap hari ini — oleh keluarga yang melihat bil barangan dapur meningkat, oleh pengusaha pengangkutan dan peniaga makanan yang cuba menyerap kos lebih tinggi, oleh petani dan pekerja yang perlu berjimat setiap ringgit. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkemungkinan antara yang paling terkesan. Mereka dihimpit oleh kos logistik dan tenaga, tekanan aliran tunai serta kenaikan harga input import. PKS memerlukan sokongan yang bersasar: bantuan sementara, akses pembiayaan yang lebih baik, insentif kecekapan tenaga dan
kelonggaran peraturan yang munasabah untuk membantu mereka menyesuaikan operasi.

Keutamaan senegara untuk fasa seterusnya

Tugas kita dalam bulan-bulan mendatang amat jelas. Kita akan melindungi isi rumah yang rentan. Kita akan menyokong PKS dan sektor strategik yang terkesan. Kita akan mempertahankan kredibiliti fiskal negara. Kita akan memperkukuh keterjaminan tenaga dan makanan. Dan sepanjang proses ini, kita mesti memelihara keyakinan negara — kerana keyakinan yang hilang amat sukar untuk dipulihkan.

Ini bukan tugas yang mudah, lebih-lebih lagi ketika semangat kebersamaan semakin terhakis. Ia menjadi lebih sukar apabila politik yang keterlaluan mengalih perhatian kita daripada ancaman sebenar, iaitu ketidaktentuan tenaga global. Apabila terlalu banyak tenaga digunakan untuk pertelingkahan dalaman, kita membazir masa dan sumber yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan pertumbuhan serta agenda reformasi negara. Malaysia pernah melalui tempoh yang amat mencabar sebelum ini — Krisis Kewangan Asia dan pandemik Covid-19 — dan institusi kita bangkit dengan lebih kukuh. Kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti, serta sebuah negara yang kekal fokus, telah membantu kita mengharungi krisis-krisis tersebut. Nilai yang sama juga boleh membantu kita mendepani krisis ini dengan berjaya.

Apa yang masih dalam kawalan kita

Daya tahan negara tidak boleh dibina oleh kerajaan sahaja. Ia memerlukan kepercayaan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat. Kita tidak boleh mengawal kejutan global yang sampai ke negara kita. Tetapi kita boleh mengawal disiplin, kesepakatan dan tahap kesiapsiagaan kita. Faktor inilah yang akan menentukan sama ada sesebuah negara tenggelam dibadai krisis, atau berjaya mengatasinya dengan lebih kuat. Gelombang krisis ini mungkin akan terus datang. Tetapi jika kita menghadapinya bersama dengan tenang dan tekad yang jelas, ia tidak akan menenggelamkan Malaysia.

Penulis ialah penasihat politik kanan perdana menteri dan pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Predict & Trade to Win Rewards

Predict & Trade to Win RewardsPredict & Trade to Win Rewards

Guaranteed rewards with $500,000 prize pool

Disclaimer: The articles reposted on this site are sourced from public platforms and are provided for informational purposes only. They do not necessarily reflect the views of MEXC. All rights remain with the original authors. If you believe any content infringes on third-party rights, please contact [email protected] for removal. MEXC makes no guarantees regarding the accuracy, completeness, or timeliness of the content and is not responsible for any actions taken based on the information provided. The content does not constitute financial, legal, or other professional advice, nor should it be considered a recommendation or endorsement by MEXC.

RealStocks Now Live

RealStocks Now LiveRealStocks Now Live

Trade real U.S. stock via regulated brokerage