Poster program yang tular di Facebook sehingga mencetuskan pelbagai reaksi, dengan orang ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan menyiasat program hiburan disko retro serta hipi era 1960-an, 1970-an dan 1980-an baru-baru ini yang dipercayai dianjurkan tanpa lesen.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menerima aduan orang awam berhubung program itu yang dipercayai dianjurkan di sebuah restoran terkenal di tepi Sungai Kelantan.
“Pihak MPKB memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan dalam proses mengambil tindakan.
“Program itu juga didapati melanggar Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 serta Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Beliau berkata, penganjuran program hiburan tanpa lesen adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025.
Menurutnya, lesen perniagaan pemilik premis juga boleh ditarik balik kerana melanggar syarat di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 2019.
Katanya, peserta yang terbabit turut boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan,
Sebelum ini, poster yang mempromosi program itu tular di Facebook sehingga mencetuskan pelbagai reaksi, dengan orang ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Menurut poster program yang berlangsung pada malam 3 Julai lalu itu, ia menampilkan pelbagai aktiviti seperti tarian, permainan dan cabutan bertuah dengan bayaran kemasukan RM35.