Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima menghadap Anwar Ibrahim yang membincangkan isu kebajikan serta kesejahteraan rakyat khususnya di Johor. (Gambar Facebook HRH Crown Prince of Johor)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor akan terus diperkukuh demi kemajuan negeri itu serta kebajikan rakyatnya.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini, dalam suasana mesra dan harmoni.
Menurut Anwar, pertemuan itu memberi ruang untuk bertukar pandangan berhubung kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan Madani dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata beliau dan Tunku Ismail turut sepakat untuk mengekalkan hubungan baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor.


