Mahkamah Rayuan tolak rayuan Pertubuhan Ikram Malaysia berhubung pembatalan saman fitnah terhadap Ridhuan Tee Abdullah berkait tiga hantaran Facebook pada 2020 yang didakwa memfitnah pertubuhan itu.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sesebuah pertubuhan berdaftar tidak mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman fitnah kerana ia tidak mempunyai personaliti undang-undang serta reputasi yang boleh dilindungi oleh undang-undang.
Panel tiga hakim memutuskan demikian ketika menolak rayuan Pertubuhan Ikram Malaysia, yang sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap ahli akademik dan pendakwah bebas, Ridhuan Tee Abdullah.
Hakim Amarjeet Singh, yang menyampaikan alasan penghakiman, berkata Ikram tidak boleh meneruskan tindakan fitnah kerana ia kekurangan personaliti undang-undang.
“Tidak seperti badan kerajaan atau perbadanan, perayu tidak mempunyai reputasi yang perlu dilindungi,” katanya.
Turut bersidang ialah Hakim Firuz Jaffril dan Hakim Ismail Brahim.
Amarjeet berkata mahkamah berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 dalam kes Lim Lip Eng melawan MCA, yang memutuskan bahawa parti politik tidak boleh menyaman individu atas dakwaan fitnah.
Dalam kes itu, Lim Lip Eng berjaya membatalkan saman fitnah RM100 juta yang difailkan terhadapnya oleh MCA pada 2017.
Saman terhadap Ridhuan difailkan Mahdzir Isa, seorang pegawai awam Ikram, berhubung tiga hantaran Facebook yang mendakwa pertubuhan itu dan ahlinya sebagai pengkhianat, antiIslam dan mempunyai kecenderungan politik yang bertentangan dengan agama Islam.
Plaintif mendakwa kenyataan tersebut adalah tidak benar serta telah mencemarkan reputasinya dan reputasi Ikram.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Shah Alam memutuskan bahawa hantaran Facebook Ridhuan yang diterbitkan pada 2020 adalah berunsur fitnah.
Bagaimanapun, mahkamah membatalkan tuntutan Ikram atas alasan pertubuhan berdaftar tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk menyaman atas fitnah, walaupun Mahkamah Tinggi mendapati Ikram berjaya membuktikan semua elemen fitnah.
Mahkamah Tinggi turut memutuskan bahawa Ridhuan tidak boleh bergantung kepada pembelaan justifikasi atau komen yang adil (fair comment).
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Ikram, berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada mahu mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Ashmadi Othman pula mewakili Ridhuan.


