Mahkamah Sesyen Kuantan menetapkan 19 Ogos ini untuk bekas ketua polis Temerloh Azhar Yusoff memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuantan memerintahkan bekas ketua polis Temerloh, Azhar Yusoff membela diri atas 46 pertuduhan rasuah berjumlah RM69,600 antara Mac 2019 hingga Januari 2023.
Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Azhar, 56, di akhir kes pendakwaan.
Beliau berkata, mahkamah mendapati semua 46 pertuduhan itu teratur, sah dan tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas penilaian maksimum terhadap keseluruhan kes pendakwaan, termasuk keterangan 20 saksi pendakwaan.
“Mahkamah juga memutuskan anggapan di bawah Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpakai kepada tertuduh.
“Sehubungan itu, tertuduh diperintahkan membela diri bagi semua 46 pertuduhan utama untuk menyangkal anggapan terhadap pertuduhan yang dikenakan,” katanya menurut Sinar Harian.
Hakim menetapkan 19 Ogos ini untuk Azhar memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Pada 7 Sept 2023, Azhar mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan menerima rasuah tanpa balasan yang didakwa diterima melalui transaksi pemindahan wang dalam talian ke akaun bank yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai kanan polis di IPD Temerloh.
Dia didakwa menerima RM100 hingga RM5,600 daripada empat individu sebagai dorongan untuk melindungi mereka daripada dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhly Zamry dan Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam Bob S Arumugam serta M Athimulan.


