HRD Corp menggantung enam anggota pengurusan tertingginya awal tahun ini susulan laporan PAC, Ketua Audit Negara dan SPRM yang membangkitkan dakwaan salah urus.
PETALING JAYA: Enam anggota pengurusan tertinggi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang digantung awal tahun ini masih dalam siasatan dalaman.
Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, berkata proses tindakan tatatertib terhadap mereka telah dimulakan, namun keputusan bergantung kepada hasil siasatan dalaman yang sedang dijalankan.
“HRD Corp memberi jaminan bahawa keseluruhan proses ini dilaksanakan secara adil dan telus.
“Sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran undang-undang tidak akan dikompromi bagi memastikan integriti dan kepentingan dana terus terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Yeo Bee Yin (PH-Puchong).
Enam pegawai kanan itu digantung susulan beberapa laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membangkitkan dakwaan salah urus.
Laporan tersebut membabitkan pengurusan levi tidak digunakan oleh syarikat berkaitan kerajaan itu, pengambilalihan Menara Ikhlas, serta pengurusan pelaburan ekuiti HRD Corp.
Laporan Ketua Audit Negara 2024 turut mengesyorkan supaya Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan selepas GLC itu gagal dalam auditnya.
Sementara itu, PAC mendedahkan panel pelaburan syarikat itu tidak melaporkan aktiviti pelaburan dengan sewajarnya kepada lembaga pengarah, selain levi yang dikutip digunakan secara ‘agresif’ untuk pelaburan berisiko tinggi.
Bagaimanapun, pada Disember 2024, dilaporkan bahawa SPRM telah membersihkan pengurusan HRD Corp daripada sebarang salah laku, dengan menyatakan tiada kesalahan di bawah Akta SPRM dilakukan.
Ramanan berkata HRD Corp telah menubuhkan jawatankuasa siasatan yang melibatkan ketua unit integriti kementeriannya untuk meneliti laporan PAC, Ketua Audit Negara dan SPRM.
Beliau berkata GLC itu telah menyusun semula portfolio pelaburannya dengan objektif pemeliharaan modal dan keselamatan fiskal jangka panjang, selain satu panel pelaburan baharu ditubuhkan yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam pelaburan, kewangan dan pengurusan risiko.
“Mulai tahun ini, HRD Corp berjaya memulihkan nilai pelaburan sebanyak RM270.72 juta melalui pelaksanaan pelan penstrukturan dan pengurusan portfolio yang lebih berdisiplin
“Inisiatif ini telah memperkukuhkan profil risiko dana dengan menurunkan pendedahan kepada aset berisiko tinggi daripada 21.6% kepada 13.5% daripada jumlah aset di bawah pengurusan,” katanya.

