Wakil rakyat mencadangkan pesalah ‘deepfake’ lucah dikenakan hukuman sebatan mandatori.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenalkan hukuman sebatan mandatori ke atas pesalah yang mendalangi manipulasi kandungan lucah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ‘deepfake’.
Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata hukuman lebih berat perlu dilaksanakan segera berikutan impak psikologi dan trauma berpanjangan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa.
“(Cadangan) hukuman denda atau penjara lima tahun ini perlu dinaikkan. Rompin mencadangkan pesalah ‘deepfake’ lucah ini dikenakan hukuman sebatan mandatori kerana impak kemudaratan psikologi kepada mangsa adalah trauma seumur hidup,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat.
Beliau turut mencadangkan penubuhan sistem pengecaman wajah kebangsaan yang diintegrasikan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan tindakan segera termasuk sekatan akaun media sosial palsu yang mencuri identiti.
Isu ‘deepfake’ lucah turut dibangkitkan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang menggesa perintah sekatan kecemasan dikuatkuasakan serta-merta bagi memaksa pengendali platform media sosial memadam kandungan dalam tempoh beberapa jam, terutama jika melibatkan kanak-kanak.
“Seorang kanak-kanak tidak sepatutnya merayu di internet supaya gambarnya dipadam. Negara kita perlu bertindak, bergerak dengan lebih cepat daripada algoritma,” katanya.
Sementara itu, Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mencadangkan mekanisme integrasi agensi secara automatik pasca-laporan polis bagi mengelakkan mangsa penipuan terus terbeban dengan proses rujukan aduan yang berlapis.
“Rakyat tidak mahu melihat pertindihan peranan atau kelewatan tindakan. Rakyat mahu apabila laporan dibuat, penguatkuasaan bertindak cepat, terselaras dan juga berkesan,” katanya yang mahukan tindakan susulan antara polis, SKMM serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) disatukan.

