(dari kiri) Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, pengarah pilihan raya PKR dan naib presiden Amirudin Shari, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, dan Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa ketika melancarkan manifesto Pakatan Harapan bagi PRN Johor.
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto bagi PRN Johor pada 11 Julai dengan menggariskan visi dan pelbagai inisiatif untuk menjadikan negeri itu sebagai ‘Shenzhen Asia Tenggara’.
Gelaran itu merujuk kepada pembangunan pesat Shenzhen yang berkembang menjadi hab teknologi serta bandar ketiga paling ramai penduduk di China selepas beberapa dekad berada di belakang bandar jiran, Hong Kong.
Antara inisiatif utama yang dicadangkan PH ialah program untuk membawa pulang 20,000 tenaga profesional yang kini bekerja di Singapura ke Johor menjelang 2031 menerusi pelbagai insentif pekerjaan dan keusahawanan.
Gabungan itu juga merancang menyediakan perlindungan insurans kesihatan awam sehingga RM100,000 kepada 500,000 rakyat Johor, khususnya golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU).
PH turut berikrar memberikan RM8,000 kepada 50,000 keluarga muda bagi membantu pembayaran wang pendahuluan rumah pertama, di samping menawarkan pembiayaan yang lebih mudah, skim sewa beli serta membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, PH bercadang memberikan bonus RM1,000 bagi setiap bayi yang dilahirkan di Johor, menubuhkan 250 pusat jagaan kanak-kanak Madani bagi membantu wanita kembali ke alam pekerjaan, serta memperkenalkan pas pengangkutan awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU.
PH turut berhasrat memperkenalkan rangkaian bas pengantara Rapid Transit System Link (RTS) di Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang, dengan menyatakan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
Inisiatif RM500 juta untuk belia, pembiayaan RM1 bilion bagi PKS
PH mencadangkan peruntukan RM500 juta untuk pelbagai program yang memfokuskan golongan belia, termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf premium, latihan kecerdasan buatan (AI), inisiatif keusahawanan belia serta tuisyen percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.
Seramai 200,000 belia Johor dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut, termasuk program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran digital dalam kalangan golongan muda.
PH juga akan menyediakan RM1 bilion dalam bentuk dana bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan untuk membantu memulakan perniagaan baharu, mendigitalkan perniagaan tempatan sedia ada dan meningkatkan eksport Johor ke pasaran Asean.
Ia turut menyasarkan untuk menjadikan Johor sebagai pengeluar utama agromakanan negara serta memangkin sektor bernilai tinggi seperti pembuatan perabot, ekonomi kreatif, minyak dan gas, pelancongan serta pertanian moden.
Gabungan mahu mewujudkan 250,000 pekerjaan baharu berpendapatan tinggi dan meningkatkan pendapatan median rakyat Johor kira-kira 30% dalam tempoh lima tahun menerusi program peningkatan kemahiran berasaskan AI, automasi dan logistik pintar, antara lain.
Manifesto PH pelan realistik, boleh dilaksanakan
Calon PH di Puteri Wangsa, Maszlee Malik berkata manifesto itu adalah pelan realistik dan boleh dilaksanakan, selain mampu memenuhi keperluan semua rakyat Johor termasuk penduduk di penempatan Felda serta pekerja yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja.
“Tema manifesto ini ialah ‘Johor untuk semua’, kerana Johor bukan untuk kroni. Manifesto ini tentang kemakmuran bersama dan melindungi masa depan Johor,” katanya.


