Presiden merangkap CEO Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin santuni penjaja semasa sesi libat urus di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, hari ini.
PETALING JAYA: Agrobank meneruskan siri jelajah turun padang dengan menganjurkan sesi libat urus bersama penjaja dan usahawan mikro di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, hari ini, bagi memperluas akses pembiayaan serta khidmat nasihat kewangan kepada golongan itu.
Bank pembangunan itu berkata, inisiatif itu selaras dengan seruan kerajaan supaya institusi kewangan lebih aktif turun ke lapangan bagi memahami keperluan peniaga kecil dan menawarkan sokongan modal yang bersesuaian.
“Komuniti penjaja dan usahawan mikro merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi setempat serta sumber pendapatan utama bagi ribuan keluarga di kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Agrobank, pasar tani itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik sebagai antara pasar tani paling aktif, dengan 70 peniaga beroperasi di 98 lot dan menerima lebih 5,000 pengunjung setiap minggu.
Selain itu, tumpuan usahawan mikro yang tinggi, penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui sistem kod QR oleh majoriti peniaga dan aksesibiliti lokasi yang baik menjadikan pasar tani tersebut sebagai platform sesuai untuk memperluas akses pembiayaan, perlindungan kewangan, khidmat nasihat perniagaan dan inisiatif pendigitalan.
Sesi di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri hari ini diketuai Agrobank dengan penyertaan beberapa agensi dan institusi perbankan lain. Ia merupakan lokasi ketiga siri libat urus Agrobank di pasar tani selepas Pasar Tani Taman Melawati dan Pasar Tani Kelana Jaya.
Setakat ini, inisiatif turun padang di pasar tani itu telah menjana permohonan pembiayaan mikro berjumlah RM2.1 juta, yang menurut Agrobank mencerminkan sambutan positif usahawan mikro terhadap kemudahan pembiayaan yang ditawarkan.
Dalam pada itu, Agrobank turut berkongsi contoh kejayaan pelanggan di Pasar Tani Kelana Jaya sebagai bukti bagaimana pembiayaan tersusun dapat memperkukuh operasi peniaga kecil.
Antaranya, seorang pelanggan dalam sektor pemprosesan ayam menerima pembiayaan mikro RM180,000, manakala pengerusi pasar tani itu memperoleh pembiayaan RM80,000.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sesi libat urus sebelum ini menunjukkan peniaga kecil dan usahawan mikro memerlukan akses kepada maklumat kewangan yang mudah difahami serta dekat dengan lokasi perniagaan mereka.
“Pendekatan turun padang ini membolehkan Agrobank menyampaikan maklumat dan khidmat nasihat dengan lebih bersasar,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebahagian usaha memperluas akses kewangan kepada komuniti pasar tani di seluruh negara, Agrobank memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM20 juta untuk menyokong penjaja dan peniaga kecil.
Pendekatan itu, katanya, membolehkan peniaga mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan semakan awal pembiayaan dengan lebih mudah, termasuk melalui Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama yang menawarkan kadar keuntungan serendah 2.5% setahun.
Selain pembiayaan, Agrobank memaklumkan, penjaja turut diberi akses kepada khidmat nasihat kewangan, perlindungan takaful, pendigitalan perniagaan dan literasi kewangan bagi membantu meningkatkan daya tahan serta daya saing perniagaan dalam jangka panjang.