Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar kenangan sempena pelancaran Promosi Masakan Perlis di Santubong, Kuching. (Gambar Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis)
PETALING JAYA: Perlis bersedia memperkenalkan 83 gua baharu di sepanjang Banjaran Nakawan sebagai produk ekopelancongan dan destinasi ekspedisi terbaharunya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah penemuan gua oleh Jabatan Perhutanan negeri itu membuka peluang besar kepada pakar pengkaji dan peminat aktiviti lasak, sama ada dari dalam atau luar negara untuk mengadakan siri ekspedisi speleologi.
Selain penerokaan gua, keunikan alam semula jadi Perlis seperti fenomena “awan karpet” pada waktu subuh di puncak Wang Kelian serta beberapa lokasi pendakian lain turut berpotensi diangkat sebagai “gimnasium semula jadi” bagi penganjuran kejuaraan mendaki peringkat antarabangsa.
Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan titah itu sempena pelancaran Promosi Masakan Perlis di sebuah hotel di Santubong, Kuching. Ia menampilkan hidangan tradisional Perlis bagi mencerminkan keunikan cita rasa dan warisan kulinari negeri berkenaan, dengan mengetengahkan Kurma Daging Perlis sebagai hidangan istimewa.
Majlis itu diadakan sempena promosi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027. Ia juga menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat Perlis dan Sarawak, di samping memperkukuhkan kerjasama dalam mempromosikan warisan budaya, pelancongan dan gastronomi Malaysia.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Keluarga diraja itu berangkat ke Kuching kali ini bagi menghadiri Rainforest World Music Festival 2026 di Kampung Budaya Sarawak, Santubong dari 26 hingga 28 Jun lalu.

