Muhyiddin Yassin berkata kehadiran wakil pembangkang yang kuat dalam pentadbiran kerajaan negeri penting bagi memastikan setiap dasar dan perbelanjaannya dipantau.
BATU PAHAT: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengakui Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak mampu membentuk kerajaan negeri, namun berharap ia memperoleh kerusi untuk berperanan sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri Johor selepas PRN.
Beliau berkata, kehadiran wakil pembangkang yang kuat penting bagi memastikan setiap dasar dan perbelanjaan kerajaan dipantau.
“Walaupun kita tak dapat bentuk kerajaan, kita perlukan juga kerusi yang mencukupi supaya kita boleh menjadi pembangkang yang melaksanakan semak dan imbang.
“Kerajaan yang ada tidak boleh buat sesuka hati. Mereka perlu menjelaskan bagaimana wang negeri dibelanjakan dan dipersoalkan dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Parit Raja.
Muhyiddin berkata, rakyat perlu menggunakan pilihan raya sebagai medan memilih wakil yang mampu membawa manfaat kepada negeri, selain memastikan kerajaan sentiasa dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, lagi, isu kos sara hidup masih menjadi cabaran utama rakyat dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.
“Ramai rakyat masih berdepan kesukaran hidup. Pendapatan yang diterima tidak lagi sepadan dengan peningkatan kos sara hidup dan harga barang.
“Sebab itu rakyat perlu memilih wakil yang benar-benar mampu membawa perubahan dan memperjuangkan kepentingan mereka,” katanya.
Kerusi DUN Parit Raja menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon PN Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, calon Barisan Nasional (BN) Nor Rashidah Ramli dan calon Pakatan Harapan (PH) Shazwan Dzainal Abidin.
PRN Johor menyaksikan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal telah berlangsung semalam.


