Mahkamah Tinggi Kangar benar permohonan Speaker Rus’sele Eizan bagi batal saman pemula bekas Adun Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Saad Seman (Chuping). (Gambar fail)
PETALING JAYA: Saman pemula difailkan tiga bekas Adun PAS bagi mencabar keputusan speaker DUN Perlis mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi mereka dibatal Mahkamah Tinggi Kangar.
Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Speaker Rus’sele Eizan untuk membatalkan saman itu, tanpa sebarang perintah kos, lapor Sinar Harian.
Dalam penghakimannya, Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan keistimewaan kepada speaker DUN, sekali gus menjadikan kesahihan keputusannya tidak boleh dipersoalkan mana-mana mahkamah.
Mahkamah turut memutuskan keputusan speaker menggunakan budi bicara di bawah Perkara 50A Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis adalah sah.
Selain itu, mahkamah berpandangan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri urusan DUN selaras prinsip pengasingan kuasa, selagi kuasa tersebut dilaksanakan dalam ruang lingkup undang-undang dan Perlembagaan.
Saman itu difailkan tiga bekas Adun pada 2 Jan lalu oleh Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Saad Seman (Chuping).
Ia susulan pengumuman kekosongan kerusi luar jangka oleh Rus’sele pada 25 Dis 2025 di tiga kawasan DUN berkenaan selepas
keahlian tiga wakil rakyat PAS itu terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Keputusan itu dibuat ekoran kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 24 Dis 2025 memaklumkan, keahlian tiga Adun tersebut terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Speaker DUN Perlis diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Dr Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu, manakala tiga bekas ADUN berkenaan diwakili Mohd Jamil Yaacob.
