Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, berkata wakil rakyat seharusnya diberi peluang menonton rakaman itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen mungkin dibenar melihat rakaman litar tertutup (CCTV) berhubung kes serangan di Penjara Taiping seawal minggu depan, tertakluk kelulusan Jemaah Menteri, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.
Katanya, beliau berharap Kabinet akan membuat keputusan dalam masa terdekat bagi membolehkan Ahli Parlimen mendapat gambaran sebenar kejadian berlaku.
“Kita sebagai wakil rakyat seharusnya diberi peluang melihat rakaman tersebut memandangkan beberapa jawatankuasa sudah pun menontonnya,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024 di Dewan Rakyat.
“Namun, perkara ini memerlukan pertimbangan lanjut, termasuk implikasi undang-undang seperti isu berkaitan subjudis dan kes yang sedang berjalan, serta sebarang pertimbangan lain,” katanya.
Kulasegaran menjawab seruan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) agar rakaman itu dipaparkan kepada semua 222 Ahli Parlimen.
Rakaman berkenaan berkaitan insiden pada Januari 2025 menyaksikan kira-kira 60 warden menyerang lebih 100 banduan semasa proses pemindahan antara blok sel, mengakibatkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut.
Inkuiri awam Suhakam pada Mei lalu merumuskan bukti CCTV dan keterangan saksi menunjukkan pegawai penjara telah memalsukan laporan polis bagi menggambarkan banduan sebagai pihak agresif.
Sejak itu, seorang warden dituduh atas kesalahan menyebabkan membunuh tanpa niat, manakala lima lagi dituduh menyebabkan kecederaan kepada banduan, pada 3 Julai.
Khoo berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia dan Jawatankuasa Khas keselamatan Parlimen telah melihat rakaman berkenaan, dan ia bercanggah dengan dakwaan awal pegawai penjara kononnya berlaku rusuhan.
“Apabila kita melihat video sebenar, tiada rusuhan berlaku,” katanya ketika mencelah.
Kulasegaran menjawab, beliau juga telah menonton video berkenaan dan terkejut dengan apa yang dilihat, sambil menambah memandangkan rakaman itu telah dipaparkan kepada dua jawatankuasa Parlimen, kerajaan sewajarnya mempertimbang untuk membenarkan Ahli Parlimen lain turut menontonnya.
Beliau juga memuji Suhakam kerana bertindak pantas selain menyatakan siasatan suruhanjaya itu membantu mendedahkan rakaman berkenaan dan menjurus tindakan terhadap beberapa individu terlibat.


