Ketua Pesuruhjaya SPRM Abdul Halim Aman berkata siasatan setakat ini tidak menemui sebarang aliran tunai atau pembayaran kepada bekas menteri Nik Nazmi Nik Ahmad atau mana-mana syarikat mencurigakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Dakwaan bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menerima rasuah RM53 juta dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah ke Jepun tidak berasas kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang aliran wang mengaitkannya.
“Siasatan menunjukkan dan mendapati tidak wujud aliran wang ataupun aliran tunai pembayaran kepada menteri atau mana-mana syarikat mencurigakan.
“Hasil siasatan pihak kami setakat ini menunjukkan perkara yang dibangkitkan itu, berkenaan rasuah RM53 juta setakat ini tidak mempunyai asas,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abdul Halim Aman menurut Sinar Harian dalam sidang media di ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya.
Bulan lalu, Nik Nazmi dilaporkan berkata, beliau tiada sebarang kaitan dengan urusan pemindahan tiga ekor gajah – Dara, Amoi dan Kelat – ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Tegasnya, beliau sentiasa berpegang kepada pendiriannya dan tiada apa-apa untuk disembunyikan, jika disiasat SPRM.
Pada 18 Jun lalu, Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) mendakwa pembayaran hasil pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia ke Jepun sebanyak RM53 juta tidak disalurkan ke tabung kerajaan, sebaliknya berakhir di tangan individu tertentu.
Justeru, kumpulan hak hidupan liar itu meminta SPRM menyiasat Nik Nazmi serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung perkara berkenaan.
