Zahid Hamidi berkata BN tidak akan menggunakan serangan peribadi yang melampaui batas dalam pilihan raya negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengelakkan serangan peribadi serta mengetengahkan kelebihan calon masing-masing sepanjang kempen PRN Johor, kata Pengerusi BN Zahid Hamidi.
Zahid berkata, kedua-dua gabungan itu komited mengekalkan keharmonian dalam kerajaan perpaduan dengan mengamalkan kempen yang matang tanpa provokasi melampau.
“Beberapa pendekatan telah kami lakukan, antaranya tidak serang satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang (sama) di Johor khususnya dan akan ke Negeri Sembilan tetapi kita tidak menyerang melampaui batas.
“Jika ada yang tersasul daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan. Paling penting demokrasi harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Zahid berkata, formula kemenangan dalam landskap politik hari ini bukan lagi bergantung kepada usaha menghentam pihak lawan, sebaliknya mengetengahkan kualiti serta kredibiliti calon sesebuah parti.
Beliau menjadikan calon BN di Panti, Dr Naqib Ghazali, dan bekas menteri kesihatan, Dr Adham Baba, yang bertanding di Pasir Raja, sebagai contoh calon yang mempunyai kelayakan profesional yang kukuh.
“Kita harus mempromosikan calon kita seperti di Dr Naqib dan Dr Adham, yang masing-masing merupakan pakar perubatan dan bekas menteri kesihatan., bukan menghentam parti atau calon lain,” katanya.
Zahid turut berkata BN mempunyai hubungan sangat baik dengan PH di peringkat Persekutuan biarpun berdepan persaingan pada PRN Johor.
“Kerjasama antara BN dan PH sangat baik, dan kita kekal bersikap profesional.
“Kita membezakan isu peringkat nasional yang harus kita tangani bersama-sama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan isu lain pada peringkat negeri umpamanya,” katanya.
BN dan PH bertanding di kesemua 56 kerusi dalam PRN Johor yang akan diadakan pada 11 Julai. Pengundian awal pula dijadual berlangsung pada 7 Julai.

